selamat datang

SALAM

Perkongsian tulus ikhlas dari hati buat semua yang sudi menjenguk. Sekadar menambah pengetahuan untuk peringatan pada diri sendiri dan juga semua. Gilapkan ilmu yang ada, kongsi pandangan bersama untuk sama-sama membina hidup yang bahagia di dunia dan akhirat. Hulurkan pandangan anda secara peribadi untuk kebaikan bersama.

Monday, April 13, 2009

~akhirnya~

aku petik kata-kata yang pernah diberikan kepadaku
"kadang-kadang kita perlu berlembut walaupun kita memang lembut. Jangan terlalu berfikir perkara yang kecil hingga menjadi besar. Kadang-kadang berfikir apa yang lebih perlu"

Ayat ini terlalu memberi makna kepada aku. Namun, hingga saat ini aku masih cuba untuk mengerti apakah makna yang ada di sebalik ayat yang diberikan. Aku cuba untuk fahami maksud yang tersirat dengan lebih mendalam. Dan kini, rasanya aku tahu. Seruan warkah telah bersahut. Akhirnya. Tamat sudah perjuangan aku. Tugas aku sudah selesai. Dan aku takkan mengganggu lagi. Aku selesa dengan apa yang berlaku sekarang. Aku bukakan lorong untuk melangkah pergi dan sukar untuk aku kembali. Aku sudah kembalikan hak yang sepatutnya bukan milik aku. Dan aku sudah tidak punya apa-apa hak lagi sama seperti dulu.

Aku akan jadi seperti aku yang dulu. Tiada lagi reaksi wajah tidak senang aku kira yang dilontarkan kepada aku. Aku kembalikan harta yang bukan milikku. Dan aku harap, tiada lagi aku dikaitkan dengan apa-apa. Aku sudah melakukan yang terbaik sepanjang aku menjaga harta ini. Dan sekarang, aku lepaskan ianya pergi kepada insan yang lebih berhak untuk menjaga harta ini. Aku sudah tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab lagi. Aku serahkan semuanya kepada yang berhak. Harta ini bukan milikku dan kegembiraan harta ini bukan bersamaku.

"Bila yang tertulis untukku adalah yang terbaik untukmu, Kan ku jadikan kau kenangan yang terindah dalam hidupku"

Pergilah. Melangkahlah. Lebarkan sayapmu bersama insan yang lebih mengerti akan dirimu. Aku hanya akan menjadi satu kenangan buatmu. Benarkan aku melangkah pergi dan aku takkan menghalang kegembiraan ini. Aku hanya insan yang hina, melukut di tepi gantang. Dan mungkin benar, aku yang bermasalah. Namun, aku kira, ini yang terbaik untuk aku dan untuk semua. Hanya lafaz selamat tinggal mampu aku ungkapkan.

"SELAMAT TINGGAL"

Wednesday, April 1, 2009

~warkah buat saudaraku~

Aku pernah menitipkan tinta untuk aku mengukir kata buat seorang saudara. Pernah aku utarakan isi hati aku tentang apa yang aku rasakan. Kini, izinkan aku untuk kembali menitipkan kata buat saudara-saudara ku. Madah aku bukan untuk mengguris luka lama. Namun madah aku hanya ingin mengubati luka yang sudah terbiar lama. Warkah ini ingin ku utuskan buat saudara-saudara ku. Siapa saudara ku? Ku rasakan dengan warkah ini mungkin ada saudara-saudara ku yang akan mengerti. Bait kataku mungkin hanya dirasai oleh saudara-saudaraku sahaja. Kerana hatiku sudah terlalu rapuh untuk menahan segalanya
Buat saudaraku,
Masihkah kau ingat warkah yang pernah aku layangkan dulu? Mungkin ada yang ingat. Mungkin sudah ada yang melupakan warkah ku itu. Namun, sekali lagi aku mencoretkan kata. Buat tatapan saudaraku. Dulu, pernah aku katakan, kembalilah saudaraku kepada orang yang lebih memerlukan dirimu. Kembalilah saudara ku kepada insan yang lebih berhak kepada dirimu. Namun, tiada seorang pun saudara ku ingin kembali. Kini, saudaraku semuanya sudah mula mengorak langkah sendiri. Saudaraku sudah mula menjauh. Dan saudaraku sendiri sedar perpisahan yang tidak diduga berlaku. Aku pernah mengatakan aku tidak ingin mengambil hak saudaraku daripada saudaraku yang lain. Kerana apa? Kerana aku tidak bisa untuk menggantikan diri saudaraku itu.
Buat saudaraku,
Aku melayangkan warkah untuk aku gambarkan bahawa aku tidak ingin semua ini terjadi. Aku tahu pada satu saat saudaraku merasakan dia ingin bebas. Dan aku juga tahu pada satu saat saudaraku akan kembali merindui segala kenangan manis bersama dengan saudaraku yang lain. Aku juga tidak petah dalam berkata-kata, aku tidak bijak dalam menyusun tutur kataku. Namun, aku tahu jauh di sudut hati saudara-saudaraku, ada luka yang terpendam sekian lama. Semakin hari luka ini semakin berdarah. Dan buat saudaraku, sekali lagi aku nyatakan, aku tak ingin mengambil saudaraku yang bukan milikku. Aku tak mampu menjadi saudaraku yang pernah menghulurkan kebahagiaan buat saudaraku yang lain.
Buat saudaraku,
Jika warkah ini menjadi tatapan, fahamilah maksud susun kataku. Aku hanya ingin saudaraku kembali kepada dunia saudaraku yang dirindui. Walaupun aku tahu hati yang diguris, dilukai sukar untuk diubati, tapi rasanya sudah cukup pengajaran yang diberi. Buku-buku yang dibaca dan ditatap sudah banyak memberikan pengalaman yang bermakna kepada saudara-saudaraku. Aku sendiri sukar untuk menjatuhkan ego ku sendiri. Namun, tipu jika ada saudara-saudaraku mengatakan yang dirinya tidak kisah jika hidup bersendiri. cepat atau tidak, satu saat saudaraku pasti akan sedar, betapa saudaraku ini akan merindui saudaraku yang telah dia kehilangan.
Buat semua saudaraku,
Maafkan aku andai tersalah dalam mencoret kata. Pesanku buat saudara-saudaraku, kembalilah. Kerana aku tahu dalam perjuangan saudara-saudaraku menggapai apa yang diimpikan, sebenarnya saudara-saudaraku telah melepaskan sesuatu yang paling bermakna. Bukan sahaja saudaraku, tapi aku sendiri. Warkahku khas untuk saudara-saudaraku dan diriku. Agar kita masing-masing sedar, apa sebenarnya erti hidup yang kita cari.

~hembusan kerinduan~



tatkala angin menyentuh lembut wajahku
ku hela nafas perlahan-lahan
terlalu beratnya bebanan ku rasakan
hatiku penuh dengan kesengsaraan
menanggung rindu yang tiada kesudahan
tirai semalam ku singkap lagi
segala memori ku rungkaikan kembali
di saat bibirku masih mampu mengukir senyum
buat mereka yang sentiasa di sisiku
di saat hatiku masih lagi berbunga ceria
dengan hadirnya insan kesayanganku
aku merindui memori semalam
di mana aku mampu ketawa
di mana gundah bertukar warna
di mana titisan airmata ku menjadi mutiara
di mana sakitku menjadi penawar
hanya kerana kenangan semalam
ku selak tirai kenangan lalu
terbayang segala kegembiraanku
bersama-sama insan yang bermakna dihatiku
gelak ketawa suka duka dikongsi bersama
sayang rasanya di hati
bila kenangan itu sudah tidak kembali
terasa betapa kejamnya dunia ini
namun itulah yang harus ku tempuhi
ingin sekali aku menghidupkan kembali
kenangan lama yang sudah pergi
agar diri ini sentiasa dikasihi
namun masih adakah kemaafan di hati
memori lalu sering bermain di mata
terlihat satu hubungan yang begitu utuh
mesra terjalin tanpa sebarang sengketa
namun mengapa kini mengundang sengsara
perpecahan tanpa dipinta
perpisahan yang tidak diduga
masing-masing mengorak langkah
meninggalkan segalanya
besar hasrat di hati
jika memori ini dapat disatukan kembali
namun masih adakah peluang yang diberi
andai hati semakin dilukai
kata-kata semakin pedih tak terperi
apakah hati terlalu senang untuk diubati
semuanya demi satu memori
semuanya demi satu kenangan
semuanya hanya hembusan kerinduan
yang tiada kesudahan