selamat datang

SALAM

Perkongsian tulus ikhlas dari hati buat semua yang sudi menjenguk. Sekadar menambah pengetahuan untuk peringatan pada diri sendiri dan juga semua. Gilapkan ilmu yang ada, kongsi pandangan bersama untuk sama-sama membina hidup yang bahagia di dunia dan akhirat. Hulurkan pandangan anda secara peribadi untuk kebaikan bersama.

Friday, May 1, 2009

..bila aku berkata...

Dah lama tak coretkan kata-kata dalam blog nie. Hari ini aku nak luangkan sedikit masa untuk aku berkata-kata.

"bila aku katakan aku sayangkan dia..itu bermakna..aku benar-benar sayangkan dia..dan sampai bila-bila pun aku tetap sayangkan dia..walau apa pun yang telah dia lakukan"

Macam tak ada makna je kan ayat ni. Tapi maknanya besar bagi aku. Aku hanya nak menyatakan sayang aku pada orang yang aku sayang. Ramai orang yang aku sayang. Family aku dah memang sah2 aku sayang. Kekasih hati? Sayang. Lagi? Agak2 siapa ya? Banyak juga orang yang aku sayang tapi aku tak pernah cuba untuk mengatakan aku sayang. Kadang-kadang orang yang aku sayang ni tahu ke tidak sebenarnya aku sayang kat mereka. Aku rasa mereka tak tahu kot. Disebabkan aku sayang kat mereka, banyak kali aku pendam sedih di hati. Sebabnya? Aku sayang mereka-mereka ni. Tapi mereka tak tahu yang aku sayang mereka. Macam manalah agaknya hendak aku katakan yang aku sayang mereka. Ada sape2 nak bagi cadangan? Kadang-kadang aku fikir, biarlah aku korbankan rasa sayang ni walaupun aku memang sayang sangat2. Sedih juga bila tengok orang yang kita sayang dah tak sayangkan kita lagi. Tapi itu dah adat dunia agaknya. Nampaknya tak bolehlah aku nak pentingkan Love and belonging yang ada dalam diri aku ni. Sebab aku sayangkan orang. Tapi aku tak tahu orang sayangkan aku ke tak. Nampak macam tak sayang je. Tapi tak apalah. Asalkan aku sayang mereka-mereka ni.


Monday, April 13, 2009

~akhirnya~

aku petik kata-kata yang pernah diberikan kepadaku
"kadang-kadang kita perlu berlembut walaupun kita memang lembut. Jangan terlalu berfikir perkara yang kecil hingga menjadi besar. Kadang-kadang berfikir apa yang lebih perlu"

Ayat ini terlalu memberi makna kepada aku. Namun, hingga saat ini aku masih cuba untuk mengerti apakah makna yang ada di sebalik ayat yang diberikan. Aku cuba untuk fahami maksud yang tersirat dengan lebih mendalam. Dan kini, rasanya aku tahu. Seruan warkah telah bersahut. Akhirnya. Tamat sudah perjuangan aku. Tugas aku sudah selesai. Dan aku takkan mengganggu lagi. Aku selesa dengan apa yang berlaku sekarang. Aku bukakan lorong untuk melangkah pergi dan sukar untuk aku kembali. Aku sudah kembalikan hak yang sepatutnya bukan milik aku. Dan aku sudah tidak punya apa-apa hak lagi sama seperti dulu.

Aku akan jadi seperti aku yang dulu. Tiada lagi reaksi wajah tidak senang aku kira yang dilontarkan kepada aku. Aku kembalikan harta yang bukan milikku. Dan aku harap, tiada lagi aku dikaitkan dengan apa-apa. Aku sudah melakukan yang terbaik sepanjang aku menjaga harta ini. Dan sekarang, aku lepaskan ianya pergi kepada insan yang lebih berhak untuk menjaga harta ini. Aku sudah tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab lagi. Aku serahkan semuanya kepada yang berhak. Harta ini bukan milikku dan kegembiraan harta ini bukan bersamaku.

"Bila yang tertulis untukku adalah yang terbaik untukmu, Kan ku jadikan kau kenangan yang terindah dalam hidupku"

Pergilah. Melangkahlah. Lebarkan sayapmu bersama insan yang lebih mengerti akan dirimu. Aku hanya akan menjadi satu kenangan buatmu. Benarkan aku melangkah pergi dan aku takkan menghalang kegembiraan ini. Aku hanya insan yang hina, melukut di tepi gantang. Dan mungkin benar, aku yang bermasalah. Namun, aku kira, ini yang terbaik untuk aku dan untuk semua. Hanya lafaz selamat tinggal mampu aku ungkapkan.

"SELAMAT TINGGAL"

Wednesday, April 1, 2009

~warkah buat saudaraku~

Aku pernah menitipkan tinta untuk aku mengukir kata buat seorang saudara. Pernah aku utarakan isi hati aku tentang apa yang aku rasakan. Kini, izinkan aku untuk kembali menitipkan kata buat saudara-saudara ku. Madah aku bukan untuk mengguris luka lama. Namun madah aku hanya ingin mengubati luka yang sudah terbiar lama. Warkah ini ingin ku utuskan buat saudara-saudara ku. Siapa saudara ku? Ku rasakan dengan warkah ini mungkin ada saudara-saudara ku yang akan mengerti. Bait kataku mungkin hanya dirasai oleh saudara-saudaraku sahaja. Kerana hatiku sudah terlalu rapuh untuk menahan segalanya
Buat saudaraku,
Masihkah kau ingat warkah yang pernah aku layangkan dulu? Mungkin ada yang ingat. Mungkin sudah ada yang melupakan warkah ku itu. Namun, sekali lagi aku mencoretkan kata. Buat tatapan saudaraku. Dulu, pernah aku katakan, kembalilah saudaraku kepada orang yang lebih memerlukan dirimu. Kembalilah saudara ku kepada insan yang lebih berhak kepada dirimu. Namun, tiada seorang pun saudara ku ingin kembali. Kini, saudaraku semuanya sudah mula mengorak langkah sendiri. Saudaraku sudah mula menjauh. Dan saudaraku sendiri sedar perpisahan yang tidak diduga berlaku. Aku pernah mengatakan aku tidak ingin mengambil hak saudaraku daripada saudaraku yang lain. Kerana apa? Kerana aku tidak bisa untuk menggantikan diri saudaraku itu.
Buat saudaraku,
Aku melayangkan warkah untuk aku gambarkan bahawa aku tidak ingin semua ini terjadi. Aku tahu pada satu saat saudaraku merasakan dia ingin bebas. Dan aku juga tahu pada satu saat saudaraku akan kembali merindui segala kenangan manis bersama dengan saudaraku yang lain. Aku juga tidak petah dalam berkata-kata, aku tidak bijak dalam menyusun tutur kataku. Namun, aku tahu jauh di sudut hati saudara-saudaraku, ada luka yang terpendam sekian lama. Semakin hari luka ini semakin berdarah. Dan buat saudaraku, sekali lagi aku nyatakan, aku tak ingin mengambil saudaraku yang bukan milikku. Aku tak mampu menjadi saudaraku yang pernah menghulurkan kebahagiaan buat saudaraku yang lain.
Buat saudaraku,
Jika warkah ini menjadi tatapan, fahamilah maksud susun kataku. Aku hanya ingin saudaraku kembali kepada dunia saudaraku yang dirindui. Walaupun aku tahu hati yang diguris, dilukai sukar untuk diubati, tapi rasanya sudah cukup pengajaran yang diberi. Buku-buku yang dibaca dan ditatap sudah banyak memberikan pengalaman yang bermakna kepada saudara-saudaraku. Aku sendiri sukar untuk menjatuhkan ego ku sendiri. Namun, tipu jika ada saudara-saudaraku mengatakan yang dirinya tidak kisah jika hidup bersendiri. cepat atau tidak, satu saat saudaraku pasti akan sedar, betapa saudaraku ini akan merindui saudaraku yang telah dia kehilangan.
Buat semua saudaraku,
Maafkan aku andai tersalah dalam mencoret kata. Pesanku buat saudara-saudaraku, kembalilah. Kerana aku tahu dalam perjuangan saudara-saudaraku menggapai apa yang diimpikan, sebenarnya saudara-saudaraku telah melepaskan sesuatu yang paling bermakna. Bukan sahaja saudaraku, tapi aku sendiri. Warkahku khas untuk saudara-saudaraku dan diriku. Agar kita masing-masing sedar, apa sebenarnya erti hidup yang kita cari.

~hembusan kerinduan~



tatkala angin menyentuh lembut wajahku
ku hela nafas perlahan-lahan
terlalu beratnya bebanan ku rasakan
hatiku penuh dengan kesengsaraan
menanggung rindu yang tiada kesudahan
tirai semalam ku singkap lagi
segala memori ku rungkaikan kembali
di saat bibirku masih mampu mengukir senyum
buat mereka yang sentiasa di sisiku
di saat hatiku masih lagi berbunga ceria
dengan hadirnya insan kesayanganku
aku merindui memori semalam
di mana aku mampu ketawa
di mana gundah bertukar warna
di mana titisan airmata ku menjadi mutiara
di mana sakitku menjadi penawar
hanya kerana kenangan semalam
ku selak tirai kenangan lalu
terbayang segala kegembiraanku
bersama-sama insan yang bermakna dihatiku
gelak ketawa suka duka dikongsi bersama
sayang rasanya di hati
bila kenangan itu sudah tidak kembali
terasa betapa kejamnya dunia ini
namun itulah yang harus ku tempuhi
ingin sekali aku menghidupkan kembali
kenangan lama yang sudah pergi
agar diri ini sentiasa dikasihi
namun masih adakah kemaafan di hati
memori lalu sering bermain di mata
terlihat satu hubungan yang begitu utuh
mesra terjalin tanpa sebarang sengketa
namun mengapa kini mengundang sengsara
perpecahan tanpa dipinta
perpisahan yang tidak diduga
masing-masing mengorak langkah
meninggalkan segalanya
besar hasrat di hati
jika memori ini dapat disatukan kembali
namun masih adakah peluang yang diberi
andai hati semakin dilukai
kata-kata semakin pedih tak terperi
apakah hati terlalu senang untuk diubati
semuanya demi satu memori
semuanya demi satu kenangan
semuanya hanya hembusan kerinduan
yang tiada kesudahan

Thursday, March 19, 2009

~bicara kata~

Manis bicara indah tutur kata
Tak seindah rupa pengertiannya
Lembutnya lidah mengata nista
Lidah yang tiada bertulang
Mengadu domba
Serta memfitnah sesama saudara

Terkadang aku berfikir sendirian
Perlukah amarahku dibiar terus menyala
Membakar membara dengan rasa bangga
Mencela mereka dengan kata-kata
Kata ibarat pedang
Yang tajamnya bisa membunuh lawan
Kata-kata yang berhikmah
Menyedarkan kita

Kata madah pujangga
Bisa menjadi pedoman manusia
Jagalah bahasa kata kita
Jangan disalah guna

Yang merah itu saga
Yang kurik itu kendi
Yang indah itu bahasa
Yang cantik budi pekerti

Terkadang aku mentaksir manusia
Kurniaan Tuhan telah banyak dikhianati
Mencerca, menghina, dustanya bicara
Menyusun nista dengan kata-kata

Terlajak perahu masih boleh diundur lagi
Terlajak kata buruk padahnya
Terlajak perahu masih boleh diundur lagi
Terlajak kata hilang percaya
Hilang percaya..

Wednesday, March 18, 2009

~atas nama kehidupan~


Hidup ada bermacam-macam karenah, ragam, cara dan sebagainya. Kadang-kadang kita merasakan kita cukup gembira dengan kehidupan yang kita jalani. Kadang-kadang, kita tak berpuas hati. Kadang-kadang kita ingin menjauh dan kadang-kadang kita inginkan seseorang disisi kita. Lumrah hidup. Benda yang tiada akan dikenang tapi benda di depan mata hanya dibiarkan. Tika ingin bersendirian, kita akan menidakkan apa sahaja yang menghalang. Jika kesunyian, kita kembali mencari sinar yang makin menghilang. Insan bergelar manusia, tidak pernah mengenal erti puas. Sering sahaja benda yang benar tapi kelihatan salah. Benda yang salah tapi dianggap benar. Seorang insan takkan terlepas daripada membuat salah dan tiada seorang insan pun di muka bumi ini yang tidak berbuat salah. Tapi, sudah menjadi adat manusia, salah orang senang dilihat tetapi salah sendiri sukar untuk diterokai. Kadang-kadang manusia ini tidak mengerti akan hakikat sebenar sebuah kehidupan. Ada yang terus menjatuhkan manusia lain, ada yang terus tenggelam dalam dunia sendiri. Ada yang merasakan dirinya sahaja yang betul. Ada yang berfikir dia tidak layak untuk melakukan apa-apa pun. Namun, siapalah kita untuk menentukan itu semua. Kita hanya insan biasa dan kita hanya bergelar manusia. Manusia yang diberikan akal fikiran namun tidak semuanya mampu menggunakan akal ini secara sihat. Erti sebuah kehidupan banyak mengajar dalam memahami insan disekeliling kita. Pengalaman lalu adalah buku yang terbaik tapi jangan sesekali menyalahgunakan ilmu yang ada. Jangan pandang manusia itu sebelah mata kerana walau sejahat mana manusia itu, walau senakal mana manusia itu, walau sejahil mana manusia itu, walau sebaik mana manusia itu, tujuannya hanya satu...AKHIRAT...

Friday, February 27, 2009

~dugaan~

Allah takkan turunkan ujian pada hamba-Nya jika kita tak mampu untuk menanggungnya. Itulah ayat yang sering berlegar-legar dalam kepala aku. Betapa aku cuba untuk menerima dengan hati yang terbuka dan redha dengan ujian yang diberikan. Betapa aku cuba untuk mengatakan pada diri aku sendiri bahawa aku mampu untuk menampung segala ujian ini. Allah tahu kekuatan aku dan diturunkan ujian ini untuk menguji iman dan kemampuan aku. Namun, kadang-kadang aku tewas. Ingin sekali aku curahkan airmata untuk mengurangkan beratnya bebanan yang aku pikul. Insan di luar sana melihat aku ketawa. Insan di luar sana melihat aku tersenyum. Namun insan di luar sana tak pernah merasai hebatnya bebanan yang aku terima. Sukar untuk aku jelaskan apa sebenarnya yang aku alami. Tidak pernah aku meminta untuk diuji sebegini namun semuanya ada hikmah disebaliknya. Semuanya benar-benar menguji diriku. Baru aku dapat menilai erti sebuah persahabatan. Aku dapat menilai erti sebuah kejujuran. Dengan pandangan mata kasar, memang aku kelihatan seperti insan normal. Tapi hanya dengan mata hati yang dapat menembusi apa yang aku sedang aku juangkan sebenarnya. Ingin sekali aku kembali cergas seperti dulu. Ingin sekali aku mempunyai pemikiran sihat seperti dulu. Ingin sekali aku memperolehi ketenangan yang aku dambakan. Namun kini, aku berjuang untuk kesemuanya. Nikmat hidup yang Allah berikan terasa telah diambil walaupun hanya sedikit. Betapa pentingnya kita sebagai hambaNya untuk mensyukuri segala pemberiannya. Namun, aku bersyukur, dengan ujian yang diberikan, aku sedar betapa kerdilnya aku di bumi Allah ini. Buat yang mengerti, bukannya aku sengaja melakukan perkara yang aku tidak inginkan. Bukannya aku tidak mencuba untuk berdiri kembali. Bukannya aku tidak ingin untuk menjadi diriku yang dulu. Namun, kini semuanya terbatas. Aku masih lagi dalam perjuangan untuk menyelamatkan diriku sendiri. Maafkan aku andai ada yang terluka, marah, kecil hati, tak puas hati dengan sikapku. Namun, bukan itu yang aku pinta. Aku tak mengharapkan pengertian apa-apa namun aku harap, maafkanlah aku di atas ketidaksempurnaan diri ini. Mungkin ada yang berkata, aku tidak boleh jadikan ini sebagai alasan. Namun, aku akan cuba menghadapi keterbatasan ini. Tapi, hanya Allah yang tahu sampai bila aku harus menempuhi semua ujian ini.